Blogger Tips and TricksLatest Tips And TricksBlogger Tricks

Monday, January 2, 2017

Bedsores: Pengalaman mengubati dan menjaga bedsores

Salam,


*tetiba mood rajin nak update blog. alhamdulillah.


Ok ni aku nak cerita pengalaman dan cara mengubati bedsores. Mungkin ada yang pernah dengar, pernah alami, pernah tengok. Macam kes aku, first time dengar dan tengok bedsore ni. Bedsore ini secara ringkas luka pada kulit badan. Luka ini terjadi sekiranya kulit badan ini mengalami tekanan yang lama seperti baring terlalu lama yang akan menyebabkan luka ini akan terjadi. Sebagai contoh, jika ada pesakit yang baring terlalu lama di hospital tanpa ada pergerakan badan mengereng dan sebagainya, luka ini akan terjadi dan boleh membesar sehingga membawa MAUT !!. Jadi luka ini sangat2 serius dan perlu penjagaan yang teliti sangat2. Dan kena banyak SABAR !!. Bagaimana nak mengubati bedsore ? Bagaimana penjagaan bedsore ? Bagaimana nak jaga bedsore ? Nak kena beli ubat apa ? Ubat apa yang di pakai ? Tips penjagaan bedsore ? Sini saya kongsikan dari pengalaman saya dan orang lain.



Adik saya awal tahun lepas mengalami kemalangan nak menyebabkan dia kena masuk ICU selama sebulan lebih. Dalam masa sebulan tu, dia hanya baring sahaja. Adik saya tak boleh bergerak kerana kecederaan saraf yang menyebabkan tangan dan kaki dia tak dapat bergerak seolah-olah lumpuh satu badan.



Pada waktu tersebut kami sekeluarga tidak tahu akan penyakit bedsore ni. Saya tak pasti samada ibu saya ada di nasihatkan oleh doktor dan nurse di sana tentang sakit luka bedsore ini di sebabkan adik saya tidak dapat di gerakkan di sebabkan kemalangan tersebut. Selepas sebulan lebih adik saya di ICU dan di pindahkan ke wad biasa, baru kami tahu dan tengok sendiri luka bedsore adik saya yang teruk. Kami pun blur dan terfikir kenapa boleh jadi begitu. Bagi kami, pihak hospital sepatutnya yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun mengubat pesakit perlu mengambil tindakan awal dari mula lagi adik saya masuk ICU tersebut. Jadi kepada pembaca di luar sana, tindakan pertama jika ada menjaga pesakit yang terlantar terlalu lama, kena amik perhatian yang amat serius tentang bedsore nie. Elok kita bertindak sebelum berubat.



Bila adik saya di bawa ke rumah setelah di benarkan keluar dari hospital, kami sekeluarga terutama mak saya menjaga dan mencuci dan bubuh ubat pada bedsore adik saya. Lupa nak beritahu, bedsore adik saya di bahagian belakang atas sedikit dengan punggung dia. Lukanya besar dan dah hampir ke tulang. Hari-hari selepas di mandikan akan di ubat luka tersebut dan di letak dengan bermacam-macam pembalut dan ubat luka.



Kos ubat-ubat tu memang banyak dan kadang2 ada juga ubat yang sukar nak di dapati di farmasi biasa. Adik saya pun kami akan mengerengkan dia 45darjah setiap satu ke dua jam supaya mengurangkan bagi tekanan pada luka bedsore dia. Kalau dia tak mengereng kami akan letakkan bantal bentuk U (seperti bantal tidur letak kat leher tu) di bawah luka tersebut supaya tidak beri impak tekanan yang lama. Kadang-kadang kami meniarapkan adik saya. Jadi yang penting, jangan bagi terlalu lama bahagian luka tu dengan tekanan waktu baring.



Alhamdulillah setelah 10 bulan menjaga bedsore adik saya, luka bedsore dah sembuh dan luka tersebut dah di tutup dengan kulit baru. Berbaloi usaha gigih kami sekeluarga terutama mak saya yang menjaga luka ini. Tetapi oleh kerana adik saya masih dalam keadaan baring dan belum berupaya untuk mengerakkan diri dia sendiri, kami tetap akan melakukan mengereng dan meniarap ini agar bedsore ini tidak berulang kembali.



Di bawah ini maklumat bedsore berdasarkan pengalaman orang lain. Tulisan ini lebih details dan harap dapat membantu sedikit sebanyak pada mereka di luar sana.




[ KUDIS TEKANAN (BEDSORES) - ANCAMAN BUAT PESAKIT TERLANTAR #01 ]
Pernah dengar tak, orang yang sakit terlantar terkena seperti kudis pada kulit mereka? Kudis yang teruk hingga ada yang menyebabkan kematian.
Nama kudis itu sebenarnya ialah kudis/luka tekanan. Sering disebut sebagai 'bedsore'
Sewaktu awal-awal suami saya sakit dahulu, doktor dan jururawat beberapa kali mengingatkan saya tentang hal ini. Kata doktor, jagaan yang baik sangat penting supaya pesakit tidak terkena 'bedsore'. Jika sudah kena 'bedsore' memang rumit penjagaannya. Malah selepas mula mengenali beberapa orang sahabat yang sama-sama menjaga pesakit terlantar seperti saya, baru saya tahu rupanya bedsore ini tidak boleh dibuat main. Ada pesakit yang bukan meninggal dunia kerana penyakit mereka, tetapi kerana jangkitan yang terlalu teruk pada bedsore.
Ini adalah catatan berdasarkan pengalaman peribadi sahabat saya, Nurul Yune Aris. Nurul telah menjaga suaminya strok selama 4 tahun. Baru berusia 34 tahun, tetapi Nurul telah punya pengalaman hebat dalam penjagaan dan merawat bedsore suaminya yang agak teruk. Nurul pernah dijemput untuk memberi perkongsian di Talk Wound Care HUSM, tetapi beliau tidak dapat memenuhi jemputan kerana komitmen menjaga suaminya.
Pengalaman ini sangat penting untuk dikongsikan buat semua rakan-rakan dan juga pembaca, terutamanya yang ada menjaga ibu bapa, adik beradik, pasangan, atau anak-anak yang sakit terlantar.
Nurul menulis kepada saya :
BEDSORES / KUDIS TEKANAN
Bedsore terjadi akibat tekanan yang berlaku terlalu lama bagi pesakit terlantar. Ia boleh berlaku pada bahu, belakang badan, punggung, siku dan tumit pesakit jika berbaring terlalu lama.
Bedsore merupakan ancaman besar pada pesakit, juga kepada penjaga. Ia memberi kesan emosi yang bukan calang-calang bagi pesakit dan penjaga. Bagi Nurul sendiri pernah berbulan menangis bila melihat bedsore najmi yang semakin parah. Sampai bengkak mata.
KESAN KEPADA FIZIKAL DAN EMOSI PESAKIT DAN PENJAGA
Bila ibu mertua tegur kenapa mata merah, Nurul tak tergamak nak cerita. Takut dia lagi runsing bila tahu keadaan bedsore Najmi. "Biar ku pendam sendiri". Tapi bila jumpa dengan Doktor Pakar Plastik di sana, Nurul luah segalanya.
Najmi pernah mengalami 2 kali luka bedsore. Kali pertama ketika serangan stroke yang pertama di Hospital Sandakan. Selepas beberapa bulan, Najmi makin dapat respon yang baik dari situ Nurul belajar mengurus emosi Najmi terhadap luka pedih bedsorenya.
Pernah kami berdua menangis bersama dalam proses dressing bedsore. Najmi ingin membuang air besar, tapi tidak tahan dengan kepedihan luka bedsorenya. Jadi dia menangis meraung. Nurul yang memberi semangat pun menangis sama. Alhamdulillah, selepas 6 bulan, bedsore itu pulih.
Tetapi kesan dari bedsore itu menjadikan kulit gatal. Dan selepas diserang sawan yang kuat tahun lepas, dan Najmi dalam keadaan terlantar di ICU, bedsore lama terluka kembali.
Kesan mendalam akibat bedsore, pesakit akan mengalami sakit yang sangat dahsyat.
Untuk pesakit yang sedar dan boleh berkomunikasi, mungkin kita boleh dengar mereka menangis meraung atau mengatakan sakit. Jika yang tidak sedar atau kurang respon, kesannya boleh dilihat dengan demam yang panjang, batuk berkahak (untuk pesakit yang memakai trachy) dan paling ketara, terkene jangkitan kuman.
Mereka murung dan tertekan.
ANCAMAN KEPADA NYAWA
Jangkitan kuman dari bedsore jangan dibuat main. Boleh membawa maut. Seperti kata Kak Saaodah Saat (juga menjaga suami strok), ada pesakit terlantar yang meninggal bukan akibat penyakit yang dialami, tetapi akibat bedsore yang parah.
Kuman bedsore boleh menjalar hingga ke tulang, darah, otak, juga paru-paru. Untuk Najmi, kemungkinan sawan kuat yang dialami tahun lepas berpunca dari bedsore. Jika dilihat secara kasar permulaan bedsore Najmi tidaklah seteruk mana, akan tetapi kuman dalam darah dari permulaan bedsore itu boleh jadi memainkan peranan menjadikan badan pesakit lemah, fikiran runsing dan akhirnya tercetusnya sawan. Itu pendapat doktor.
Dari emosi penjaga, tentu sangat-sangat mencabar dan terkesan.
Penjaga perlu memikirkan penjagaan yang rapi untuk bedsore sahaja.
Di wad, penjaga wajib ambil tahu cara-cara penjagaan bedsore. Ini kerana apabila pulang ke rumah, penjaga sendiri perlu memantau keadaan bedsore pesakit. Bagi yang berkemampuan boleh memanggil 'team plastik/bedsore' ke rumah.
TAHAP-TAHAP BEDSORES
Mengikut pengetahuan saya, bedsore terbahagi kepada 5 tahap.
1. Tahap 1-2 masih ditahap terkawal. Berlaku kemerahan pada kulit atau bonjolan air pada kulit.
2. Tahap 3 berlaku apabila kawasan kemerahan itu berlaku pengelupasan kulit atau benjolan air pecah dan mengeluarkan darah sehingga isi daging menjadi kedalam.
3. Tahap 4 berlaku setelah proses dari tahap 3. Luka makin dalam dan besar. Sehingga hampir ke tulang pesakit. Dan boleh mengakibatkan kesan kotor atau slaf pada luka.
5. Tahap 5 berlaku apabila luka sehingga menampakkan tulang dan berlaku 'poket atau luka dalam yang tidak dapat dilihat'. Biasanya Doktor Pakar Plastik akan membuat pembedahan kecil bagi menbuang atau mengikis kulit-kulit mati pada bedsore.
Ketika pesakit diwad, jururawat akan mengajar cara-cara penyucian bedsore atau biasa disebut 'dressing bedsore' kepada penjaga.
Teringat ketika Najmi di wad Hospital Sandakan, HRPZII, KPJ Perdana dan HUSM semua misi memainkan peranan yang sama dalam menangani isu bedsore Najmi. Hehe. Besar betul isu. Dan Nurul berpengalaman dalam menangani isu bedsore ini dari ke empat-empat hospital ini. Terima kasih misi atas tunjuk ajar.
Apabila pulang ke rumah, Nurul dan jururawat-jururawat masih lagi keep in touch sehingga sekarang. Semua bertanya khabar bagaimana keadaan bedsore Najmi. Ketika itu Najmi pulang dengan bedsore di tahap ke 4.
KOS PENJAGAAN BEDSORE DAN PERALATAN/UBAT
Untuk penjagaan bedsore, kos yang terlibat sangat-sangat tinggi sebenarnya. Perkara wajib yang perlu penjaga sediakan (peralatan khas) :
1. Disposable Basic Dressing set (perlu beli di farmasi )
Murah jika beli dengan supplier tapi perlu beli secara banyak. Anggaran Harga Rm2.50. Tapi kalau harga di Farmasi biasa boleh mencecah rm4.00.
- Kebiasaannya kami penjaga beli secara banyak ikut kepada keperluan sebulan atau ikut kepada keadaan bedsore itu sendiri. Jika teruk perlu dressing sebanyak dua kali. Jika sederhana dressing sekali memadai.
- Set dressing ini juga kami penjaga gunakan untuk dressing luka jahitan di kepala atau yang menggunakan PEG Tube di perut. Juga untuk mencuci trachy di kelilingnya. Setiap luka perlu dicuci untuk mematikan kuman dan mengelak jangkitan.
2. Wound solution atau nama timangan air cuci luka.
Ada 2 jenis :
- Dari hospital selalu diberikan Chlorhexidine 5%. Ianya percuma.Perlu ditambah air sedikit. Tapi keberkesanannya kurang menyerlah.
- Dermacyn. Sangat popular dikalangan kami (penjaga). Harga, fuh! RM35-RM45 sebotol. Jika bedsore tahap 1-2 boleh tahan sebulan. Sangat-sangat berkesan menyebabkan luka darah bersih, daging nampak kemerahan dan cepat tumbuh isi daging.
3. Sterile Glove
- Harga borong RM1.50 satu. Harga biasa RM2-RM3.
- Perlu dipakai ketika proses bedsore untuk mengelakkan jangkitan kuman pada luka bedsore.
4. Fixroll Elastic
- Plaster khas untuk luka.
- Boleh digunting ikut keperluan kepenggunaan
- Harga RM45-RM55
5. Gamgee
- Kapas tebal untuk tampung pada gauze.
- Tujuannya untuk menyerap darah, air bisa atau nanah dari luka.
- Boleh nampak bila gamgee agak berwarna, perlu ditukar dan dressing baru bagi mengelakkan jangkitan pada luka bedsore.
6. Ubat-ubatan lain
- Contoh : Deuderm
- Banyak tujuan ubatan ini antaranya untuk luka bersih, isi daging tumbuh dengan cepat dan mengecilkan kawasan luka.
- Harga RM20 keatas setiap satu.
- Ubatan ini bergantung kepada penerimaan luka pesakit. Rata-rata mencuba pelbagai ubatan untuk menemui kejayaan. Huhu
7. Pelampung Khas
- Untuk luka bedsore di bahagian punggung (paling biasa terjadi) Doktor Pakar Plastik akan mengesyorkan pelampung ini untuk pesakit.
- bahagian bulatan tengah pelampung adalah penting untuk mengelakkan luka bedsore dari bertindih. Bahagian punggung adalah bahagian badan paling mudah mendapat bedsore.
- jadinya aliran udara akan memberikan kesan baik pada luka.
- penggunaan pelampung adalah ketika pesakit dalam keadaan terlantar dan ketika menggunakan wheelchair.
- Harga RM45 - RM50.
Begitulah sebahagian dari asas alatan penjagaan bedsore. Untuk kos penjagaan sahaja menelan belanja rm300-rm400 sebulan. Sangat membebankan bagi mereka yang kurang berkemampuan.
Belum lagi yang memanggil 'team khas' untuk rawatan bedsore ini. Untuk kakitangan kerajaan boleh membuat tuntutan perubatan dengan syarat mempunyai surat pengesahan dari doktor.
Untuk penjagaan pesakit terlantar yang mempunyai bedsore memang perlukan perhatian yang lebih. Hati kene kental, jiwa kene kuat. Ada sebahagian anggota keluarga tidak sanggup dan lari apabila melihat luka bedsore yang mengerikan. Ada juga sebahagian yang takut dalam memberikan rawatan.
Jika tersilap langkah bedsore akan makin parah.
Penjagaan bedsore melihat kepada keseluruhan pesakit itu. Jika pesakit mempunyai penyakit diabetes agak mencabar dalam memberikan rawatan. Istilah 'lambat baik' memang menghantui pesakit terlantar yang mempunyai diabetes.
BAGAIMANA MENGELAKKAN BEDSORE BERLAKU (LAGI)
Selain dari penyediaan alatan dressing, faktor lain adalah keadaan pesakit itu sendiri. Kami dihospital biasa dengan istilah 'turning position' untuk pesakit.
Pesakit terlantar perlu dialihkan kedudukan setiap 2-4 jam. Sama ada dalam keadaan terlentang, kemudian bertukar ke arah mengiring ke sisi kiri , kemudian dalam keadaan terlentang semula dan kemudian ke arah iring ke kanan pula. Begitulah seteruskan selama satu hari itu. Ini bagi mengelakkan badan belakang kulit pesakit bertindih dalam keadaan terlalu lama.
Untuk proses turning position bukan juga tugas yang mudah. Ada pesakit yang blh menyenggeng sendiri tidak gemar untuk mengiring ni. Tidak sampai 5 minit dah kembali ke asal (terlentang). Jenuh penjaga menjaga waktu tetapi mereka sendiri yang ingkar pada waktu.
Untuk pesakit yang bertrachy, keadaan menyenggeng ke sisi kiri kanan adalah amat membebankan bagi mereka. Keadaan trachy di tekak itu sendiri memberikan tekanan pada bahagian dalam tekak. Akibatnya pesakit terlantar bertrachy akan batuk tanpa henti.
Ada pengalaman sampai tercabut trachy dan Ryle's tube sekali. Padahal tidak sampai 2 minit mengiring. Jadi penjaga perlu kreatif lagi inovatif. Perlu letakkan kedudukan kepala pesakit bertrachy dalam keadaan selesa. Penggunaan bantal yang banyak amat diperlukan dalam proses ini.
Turning position ini selain untuk mengelakkan bedsore dan mempercepatkan proses penyembuhan bedsore, ia juga adalah salah satu sisi fisioterapi untuk pesakit. Ia boleh membantu mengendurkan urat, otot dan saraf seluruh anggota badan dari stiff (keras) dan kejang.
Bila ada pergerakkan kiri dan ke kanan semua anggota badan dapat manfaatnya. Jika terlihat tanda-tanda awal di kulit seperti kemerahan, kehitaman, menggelembung, berair dan berdarah boleh segera berikhtiar dengan menyapu gel alovera, gamat, gel khas atau mana-mana gel yang sesuai. Mencegah lebih baik dari merawat. Jadi perlu bertindak segera!
Ya sebelum terlupa penggunaan tilam 'ripple matress' atau tilam angin khas diletakkan di katil pesakit. Harga diantara rm300-rm1000 mengikut ciri-ciri yang berlainan. Ianya sangat perlu bagi pesakit. Ia penyumbang besar dari mengelakkan bedsore datang ke kulit pesakit. Selain itu penggunaan belon air juga boleh diikhtiarkan dengan meletakkan belon air itu disetiap sendiri pesakit.
PEMAKANAN PESAKIT
Pemakanan juga sangat penting.
Bagi pesakit yang boleh makan seperti biasa sangat-sangat digalakkan memilih makanan yang berkhasiat. Ia boleh mempercepatkan proses penambahan daging baru di luka bedsore.
Pemilihan daging ayam, ikan , sayur-sayuran dan buah-buahan sangat penting. Agak mencabar untuk pesakit yang menggunakan Ryle's tube atau minum menggunakan susu khas dihidung. Tidak boleh menelan seperti orang lain. Kadar nutrisi dalam badan mereka rendah. Jadinya penyembuhan luka bedsore akan mengambil masa yang lama.
Ikut pada Najmi, untuk bedsore kedua ini mengambil masa setahun lebih untuk pulih sepenuhnya. Ini kerana nutrisi dalam badan bergantung kepada susu khas yang diambil.
Pakar nutrisi dan doktor pakar plastik akan mengesyorkan pesakit mengambil susu khas berprotein tinggi seperti susu Myotein atau Weight Gain Appeton dalam diet harian mereka. Hanya satu scoop setiap kali waktu minum susu. Juga pengambilan supplement seperti Fish Oil adalah digalakkan. Semua ini untuk menambahkan protein dalam badan.
Begitulah ceritera sang bedsore yang hinggap pada pesakit terlantar.
Kedatangannya memang tidak dialukan juga tidak diduga. Baik pesakit mahupun penjaga. Tapi itu semua kehendak Allah SWT bagi mengukur tahap mana kesabaran kita. Kesabaran dalam menjaga dan kesabaran dalam berikhtiar mencari penawarnya.
Segala usaha yang ikhlas tidak akan Allah sia-sia. InsyaAllah, Ganjarannya menanti di syurga sana.
Hati yang takut, ngeri, pilu, sedih, penat, letih akan hilang apabila melihat pesakit tenang dalam tidur yang lena. Menandakan terima kasih kerana menjaganya. Tenang la dirimu, akan ku jaga mu sebaik yang termampu.
- Nurul Yune Aris -
Terima kasih banyak-banyak Nurul kerana meluangkan masa menulis catatan penting ini. Moga ia menjadi satu 'terapi' juga buat Nurul dan manfaat buat semua pembaca. Kak Uda (dan pasti pembaca juga) mendoakan Nurul terus diberi ketabahan dan kekuatan dalam mengurus dan menjaga suami tercinta.
Tambahan :
Di dalam group Whatsapp ISL juga, beberapa rakan berkongsi ayat dari Surah Al Kahfi di mana Allah SWT ada menyebut, bagaimana pemuda-pemuda AshabulKahfi yang tertidur selama 300 tahun, Allah membalik-balikkan tubuh mereka ke kiri dan ke kanan :
" Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka."
(Al-Kahfi 18:18)
Kata rakan-rakan, ramai doktor muslim yang berkongsi ayat ini, menjelaskan lagi betapa besarnya kuasa Allah SWT menyampaikan mesej penting ini melalui wahyuNya. Subhanallah.
p/s : Saya akan sambung part #2, langkah-langkah merawat luka bedsore berserta gambar peralatan/ubat. Pengalaman dikongsi oleh Puan Fizah Vs Pae yang menjaga anaknya, Nana yang sudah 2 tahun terlantar akibat kemalangan. InsyaAllah.















No comments: