Blogger Tips and TricksLatest Tips And TricksBlogger Tricks

Saturday, July 26, 2014

Orang kurang upaya dengan Al Quran

Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Ar-Ra'd 13:19)


Salam,


Baru baru ini aku menonton rancangan salam muslim musim yang ketiga kalau tak silap aku di saluran astro. Menariknya episod kali ini dalam salam muslim ini adalah berkenaan dengan keupayaan dan kesungguhan orang kurang upaya atau orang istimewa yang membaca al quran , mengingati ayat al quran dan menghafaz al quran dalam serba kekurangan pada diri mereka. Ada yang buta tetapi seorang hafiz al quran. Ada yang bisu tetapi juara tilawah al quran.


Maha Suci Allah.


Rasa diri ini sangat kerdil kerana tidak mampu membuat seperti mereka walaupun diri ini di beri nikmat yang sempurna oleh ALLAH swt. Mempunyai deria yang cukup lengkap tetapi tidak mampu untuk membaca al quran, mengingati dan menghafaz al quran sehebat mereka yang serba kekurangan. Sedangkan mereka yang deria mereka tidak sempurna tetapi mereka mendekatkan diri dengan al quran lebih dari kita.


Bila terkenang balik zaman yang melalaikan, alangkah ruginya tetapi zaman itu telah berlalu dan kini kesedaran yang allah beri menyuntik untuk aku kembali ke jalan yang lurus iaitu jalan yang di redhai olehnya. Betapa begitu besar nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita sehingga kita alpa dengan perkara duniawi. Kadang-kadang kita tidak bersyukur atas segala yang kita ada di tambah lagi dengan pelbagai alasan dan rungutan yang kita buat sedangkan di luar sana masih ada yang serba kekurangan tetapi mereka bersyukur dengan apa yang mereka ada.



Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat. (Al-An'aam 6:155)



Aku akan jadikan mereka yang kurang upaya itu sebagai satu cabaran bagi aku untuk mendekatkan diri dengan al quran. Bukan setakat membaca, memahami makna tetapi dengan menghafaz ayat ayat ALLAH itu sekali. Rasa cemburu pada mereka yang istimewa itu menyebabkan timbul rasa bersyukur yang amat dalam pada nikmat ALLAH.


Jangan la merungut atau berputus asa sedangkan setiap kejadian yang ALLAH jadikan itu mempunyai kelebihannya yang tiada pada orang lain.


Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman. (Al-A'raaf 7:52)



Terkenang kata-kata ibu kepada salah seorang pelajar membaca al quran apabila beliau mengenangkan kelebihan yang ada pada anaknya. Dia selalu berkata,


"Sebenarnya siapa yang di gelar orang kurang upaya ? Adakah kita yang sempurna kejadian atau mereka yang istimewa tetapi mereka lebih dekat dengan al quran ALLAH. "


Fikir - fikirkan.


Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Yunus 10:57)

No comments: