KISAH SEKUMPULAN SEMUT DAN SEEKOR KELDAI PEMBAWA BARANG
Pada suatu hari, seekor keldai sedang beristirehat kerana merasa kepenatan setelah memikul barangan yang membebankan. Beban yang cuma sebesar setengah daripada punggungnya itu telah diletakkan dipunggungnya oleh majikan keldai itu. Keldai tersebut hanya mengikut sahaja perintah majikannya tanpa banyak soal walaupun hakikatnya ia sudah terlalu letih membawa bebanan tersebut.
Perjalanan tersebut begitu berat ditambah pula hari yang begitu panas terik, maka keldai itu pun beristirehat di pohon rendang, dengan nafas yang termengah-mengah dan mulutnya berbuih-buih. Ketika keldai itu sedang beristirehat, tiba-tiba lalulah segerombolan semut yang kelihatan sedang bernyanyi-nyanyi dengan riang gembira sambil membawa beban makanan mereka. Keldai itu mula tertarik melihat gelagat sekumpulan semut tersebut.
Semut-semut tersebut semuanya kelihatan gembira sambil membawa beban masing-masing, ada yang membawa bangkai, tulang-tulang binatang termasuk cebisan-cebisan ayam dan sebagainya lagi. Keldai itu berasa hairan apabila melihat segerombolan semut itu senang hati dengan riang gembira bernyanyi- nyanyi.
Semut-semut itu juga melihat keldai terduduk dalam keadaan kepenatan. Sebaik sahaja menghampiri keldai tersebut, ketua semut itu bertanya kepada keldai, “Hai keldai, apa yang sedang kamu lakukan di sini.”
“Saya sedang berehat wahai semut,” jawab keldai tersebut.
“Kenapa kamu kelihatan begitu penat sekali?” tanya semut lagi.
“Itulah dia saya begitu penat sekali sebab membawa beban ini, beban yang tidak sebesar badanku ini tapi tersangatlah penat bagiku,” jawab keldai itu lagi.
Maka semut itu pun bertanya, “Siapa punya beban yang kau bawa itu, wahai sang keldai?”
Maka keldai pun menjawab, “Bos saya punya, yang sedang minum dan makan-makan dibawah pohon di sebelah sana tu!”
“Oh begitu….” kata sang semut tersebut sambil tersenyum.
Sang keldai berkata, “Eh! Kamu semua ini pula, kenapa nampak begitu gembira? Sedangkan kamu semua terpaksa mengangkat beban makanan yang besar-besar belaka?” tanya sang keldai kepada sang semut tadi.
“Kami memang begini setiap hari. Kami juga membawa beban yang berat bahkan lebih berat dari badan kami tetapi kami rasa gembira sekali. Tiada istilah penat bagi kami dan kami sangat gembira melakukannya.”
“Mengapa boleh jadi begitu ya?” tanya sang keldai dengan rasa penuh kehairanan.
Ketua semut itu diam sejenak lalu berkata: “Barangkali kerana kita mempunyai jurang perbezaan wahai sang keldai yang dihormati.”
“Apa perbezaannya, sang semut? Saya lihat, kita sama sahaja, membawa bebanan masing-masing?” tanya keldai kembali.
“Kamu membawa beban yang berat tetapi beban yang berat itu bukan kepunyaanmu, tetapi majikanmu yang sedang makan minum dan berehat-rehat di bawah pohon sana, sedangkan kami semua membawa beban memang lebih besar daripada badan kami tetapi beban-beban ini adalah kepunyaan kami sendiri, dan bukannya bos kami.” demikian penjelasan semut.
Keldai itu termanggu-manggu tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana dia tetap seekor keldai yang hanya pandai menurut perintah majikannya tanpa sedikit pun sedar akan maksud yang disampaikan oleh sang ketua semut tersebut.
No comments:
Post a Comment