Blogger Tips and TricksLatest Tips And TricksBlogger Tricks

Sunday, June 29, 2014

Cintai Allah dan Rasul melebihi segalanya.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). 
(At-Taubah 9:24)


Kita memang lalai. Lalai dalam urusan dunia. Sentiasa sibuk dengan urusan dunia. Kita kadang-kadang tidak memperuntukkan masa yang setimpal untuk beribadah kepada ALLAH. Kita tak seimbangkan kehidupan di dunia dengan keperluan di akhirat.

Kalau kita berniaga. Kita akan berusaha dengan bersungguh-sungguh agar perniagaan kita itu kekal dan memberi keuntungan pada kita. Kita berusaha untuk mengembangkan perniagaan itu. Berniaga itu tidak salah dan berniaga pun sunnah nabi cuma kita lalai tanggungjawab kita pada ALLAH.

Ada tak kita terfikir dalam diri, perniagaan kita berkembang dan menguntungkan. Kalau kita berjawatan, gaji kita besar dengan bonus tahunan berbulan-bulan. Boleh di katakan segala kehidupan kita di anggap sempurna sebab kita berduit. Keluarga gembira dan bahagia. Tetapi kenapa ALLAH memberi rezeki yang melimpah ruah ini sedangkan kita tidak solat, tak ingat dia, tak berzikir atau bersedekah, tak berjemaah tetapi rezeki kita tetap melimpah ruah. Kenapa yea. Ada terfikir tak ? Hayati maksud ayat ini.

Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). 
(Al-An'aam 6:44) 

Cuba kita fikir dan perhatikan sekeliling kita. Kita berada di atas jalan raya dengan traffik jem berapa lama ? Kita bekerja di pejabat berapa jam ? Kita bercuti dan bersuka ria dengan keluarga berapa kerap ? Kita menonton rancangan tv berapa lama ? Cuba kita fikirkan berapa lama kita peruntukan untuk solat, berzikir, membaca al quran ?

Kadang - kadang aku terfikir bila terperangkap dalam jem sewaktu pergi kerja dan balik kerja. Walaupun aku tak sanggup menempuh jem tetapi aku harung jugak jem tu sebab nak kena masuk pejabat. Hari hari dan berjam - jam kita sangkut dalam jem tak kira siang atau malam. Kalau tak bekerja takde gaji. Bila takde gaji segala hutang piutang nak bayar macam mana ? Itu semua keperluan untuk kelangsungan hidup. Tapi aku terfikir, sanggup ke aku duduk berjam2 dan jadikan amalan membaca al quran dan berzikir di dalam rumah tanpa aku menempuh jem langsung dan ini semua untuk kelangsungan dan bekalan hidup di akhirat kelak.

Kita sentiasa ada pilihan. Kita sentiasa ada penyelesaian untuk kita memikirkan yang mana terbaik untuk kita imbangkan kehidupan di dunia dan bekalan untuk akhirat. Memang bukan mudah dan memang hidup di dunia bukan mudah. Dunia ini hanya ujian. Bila di sebut ujian, kita tidak akan sesekali berasa sentiasa senang atau sentiasa susah.

Tetapi kita ada hak untuk memilih dan memikir apa yang terbaik untuk kita. Jangan sampai kita mencintai kehidupan duniawi melebihi cinta kita pada ALLAH dan RASUL.

Neraka itu di pagari dengan penuh kenikmatan dan keseronokan, manakala syurga itu di pagari oleh ujian dan kesukaran.

Bila timbul kesedaran dalam diri, terfikir akan masa-masa yang lalu yang terbiar yang tidak di isi dengan amal ibadah yang sepatutnya. Sebagai contoh, sepatutnya setiap tahun kita dah boleh khatam al quran. Kita dah boleh mengingati surah surah al quran yang kita mampu hafaz. Memahami setiap ayat quran tersebut. Membanyakkan solat berjemaah di masjid/surau. Kalau kita bekerja peruntukkan solat subuh/maghrib/isyak untuk berjemaah. Pada hari minggu atau cuti pastikan kita tidak tinggal untuk berjemaah.

Tulisan ini bukan untuk mengajak kau untuk meninggalkan hal duniawi tetapi untuk menyedarkan tanggungjawab kita yang sebenar di muka bumi ini. Hayati ayat ini.

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?
(Al-An'aam 6:32) 


Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A'raaf 7:179)



Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.     (Al-Kahfi 18:28)



Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman.       (Maryam 19:39)



Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya. 

(Al-Anbiyaa' 21:1)


Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka). 

(Faatir 35:5)


Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. 

(Al-Hadiid 57:20)


Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh)(At-Takaathur 102:1), 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun". (An-Nisaa' 4:77)

No comments: