Blogger Tips and TricksLatest Tips And TricksBlogger Tricks

Saturday, June 25, 2016

Adakah anda rasa bersedekah ini mengurangkan harta anda? Kisah wanita ini ada jawapannya.

sedekah, cerita sedekah, keajaiban sedekah, cerita benar sedekah, balasan sedekah, kisah benar sedekah, tauladan sedekah, kisah terbaru sedekah, cara sedekah, tempat sedekah, lokasi sedekah



[ ALLAH BAYAR 'CASH' ]
Beberapa hari lepas, saya poskan sedikit sumbangan untuk asnaf di Kelantan, yang akan disampaikan oleh sahabat di sana. Sumbangan kecil dan sedikit sahaja, iaitu pakaian raya kanak-kanak yang saya tidak habis jual dulu.
Selepas suami saya sakit, memang saya niat untuk sedekahkan sahaja baju-baju itu pada orang yang kurang berkemampuan.
Selesai sahaja proses pembungkusan dan poslaju, saya terima mesej dari seseorang.
"Uda, saya ada masukkan sedikit sumbangan untuk awak sekeluarga. Buat belanja raya ya"
Allahuakbar. Perasaan saya seperti 'meremang'. Saya baru sahaja sedekah sedikit, Allah sudah membalas tanpa lengah buat kami.
Tidak berapa lama selepas itu, seorang lagi sahabat menghantar mesej di Whatsapp.
"Askm kak odah...Ada duit raya sikit yg diberi di bulan ramadhan... Dari hb aku.. Aku masuk kat maybank ko..Utk anak2 ko"
Saya sudah sebak.
Dan Allah juga menyusun, selepas itu ada seorang lagi sahabat memaklumkan, dia telah masukkan sejumlah duit buat saya dan anak-anak.
Allahuakbar. Alangkah besar rahmatNya, mengurniakan orang-orang baik di sekeliling kami.
Sungguh malu rasanya. Saya hanya sumbang sedikit ya amat. Ibadah juga tidak banyak mana bulan ini. Tapi Allah membalas tanpa henti dan tanpa tangguh-tangguh kepada kami. Allahuakbar. Rasa seperti - tak tahu mana mahu letakkan muka di hadapanNya.
Saya terkenang pada Ramadhan tahun sudah. Waktu itu di masjid dengan anak-anak.
Saya sudah niat hari itu mahu bersedekah sedikit di masjid. Terus terang, waktu itu memang betul-betul 'bajet' segala-galanya. Saya niat mahu masukkan RM20 malam itu. Kemudian, entah kenapa rasa mahu beri RM50. Rasanya ada RM50 sahaja dalam dompet saya waktu itu. Saya buka beg duit, ada dua not RM50 rupanya.
Akhirnya, saya masukkan kedua-dua not RM50 itu ke dalam tabung masjid. Allahuakbar. Saya tidak fikir apa-apa. Waktu itu cuma berdoa, mudah-mudahan menjadi asbab Allah menurunkan rahmat kesembuhan buat suami. Saya hanya ada tawakkal, yang Allah akan mencukupkan semuanya bagi kami. InsyaAllah.
Esoknya di Bangi, ada kenalan datang berziarah.
Katanya, "Kak Uda, ini RM500 untuk Kak Uda. Ini semua untung saya meniaga semalam. Saya memang niat nak bagi Kak Uda dan Abang Wan semuanya."
Ya Allah. Bagaimana kami boleh menemui insan yang sebaik ini?
Dan petang esoknya, datang seorang kenalan lama bisnes kami dari Melaka. Kakak itu menghulurkan sejumlah wang dalam sampul surat.
"Buat belanja" katanya.
Saya membuka sampul itu setelah dia pulang. MasyaAllah. Di dalamnya ada RM1,000.00.
Sungguh, jika saya kenang-kenangkan, terasa meremang dan takjub dengan kuasa Allah. Jika orang kata, sekarang kalau buat jahat ke apa, Allah akan bayar 'cash'. Tapi sebenarnya 'cash' yang lebih berlipat ganda Allah beri pada kita, iaitu jika berbuat kebaikan, iaitu bersedekah.
Saya banyak sangat belajar dari bab sedekah ini. Walaupun saya sedekah hanya sedikit, tetapi Allah mengajar saya sungguh banyak. Saya percaya juga, ini hanyalah secebis kisah. Setiap dari kita pasti ada cerita masing-masing tentang keajaiban bersedekah ini.
Sememangnya Allah tidak pernah memungkiri apa yang telah disebutkan dalam firmanNya :
“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki . Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui” (Al Baqarah : 261)
Terima kasih membaca catatan ini. Mohon maaf jika ada tersalah kata.
Wallahu'alam
Raudzah Arippin
Catatan 20 Ramadhan 1437H

No comments: