Saya masih kekal berpendapat bahawa wanita walau sealim manapun dia, bukanlah peranannya untuk naik ke pentas-pentas ceramah yang dihadiri bersama para hadirin daripada kaum adam, apatah lagi rakaman-rakaman youtubenya disebarkan dengan meluas atas alasan dakwah.
Lebih menimbulkan fitnah apabila para ustazah yang diharap mampu membimbing, tiba-tiba dengan sengaja mengenakan perhiasan melampau ketika berceramah, melemah-lembutkan pula lunak suaranya diiringi lenggok badan dan mimik muka "pembaca berita"nya. Bercerita pulak bab cinta, rindu, sayang yang "diislamkkan".
Ada pula yang mengikut trend pemakaian lalu mensahihkan tindakan mereka dengan alasan bahawa ia metod yang lebih mesra mad'u moden. Dari bibir kepucatan bertukar kemerahan, dari kelopak mata asli bertukar kemerahjambuan, dari tudung labuh bertukar tudung "3 layer", dari bersuara tegas kini lemah gemalai pula nadanya. Maka jadilah penampilan ustazah sedemikian ibarat hidangan makanan yang sempurna serba serbi tapi dilarang untuk dijamah serta dimakan.
Duhai ustazah-ustazah yang saya hormati keilmuan antunna sekalian, memadailah untuk dimanfaatkan ilmu kalian buat para wanita. Jika diperlukan ilmu kalian untuk manfaat kaum lelaki, maka hindarilah dari menjadikan kalian sebagai fitnah kepada murid-murid lelaki kalian.
Ini bukan diskriminasi..Inilah cara Islam memuliakanmu wahai wanita... Kerana secara fitrahnya syahwat sangat senang melekat padamu. (Aali Imran: 14). Dan ia tidak pernah tahu membezakan antara wanita biasa atau ustazah.
Kerana Nabi sallallaahu 'alayhi wasallam yang memuliakan wanita juga pernah bersabda:
"Tidaklah aku tinggalkan setelah kematianku suatu fitnah yang lebih memudharatkan kaum lelaki melebihi fitnah wanita". (Bukhari&Muslim)
Dan Nabi tidak pernah memberi jaminan bahawa mereka yang bergelar ustaz atau ustazah akan selamat daripada fitnah ini. Para sahabat jauh melangit lebih ustaz dan ustazah (taqwa dan ilmu mereka) berbanding ustaz dan ustazah hari ini, namun sehinggakan untuk keluar dari saf solat pun Nabi ajar para wanita untuk terlebih dahulu meninggalkan saf mereka. Ia sepertimana yang disebut di dalam hadith Bukhari daripada Ummu Salamah radhiyallaahu 'anha.
Imam Nawawi rahimahullaah menyatakan bahawa hikmah daripada perbuatan ini ialah untuk mengelakkan percampuran antara lelaki dan wanita serta kebarangkalian terpandangnya lelaki ke arah para wanita lalu terpautlah hati-hati mereka.
Mohon maaf jika ada para ustazah yang berasa kenyataan saya ini agak keras ataupun rigid. Sedarilah, ia bukannya keras, tapi inilah nasihat untuk kebaikan bersama. Zaman ini telah mengheret wanita termasuk yang berkecimpung dalam bidang dakwah jauh ke dalam kancah fitnah. Namun syahwat sentiasa mengaburi fitnah ini, syaitan terus membisikkan akan murninya fitnah ini. Ramai para ustazah yang tergelincir kecuali mereka yang Allah rahmati dengan TAQWA.
Semoga Allah mengampunkan segala dosa para ustazah yang pernah mendidikku. Sungguh mereka insan yang mulia. Semoga Allah menjauhkan para ustazah yang ikhlas menyelusuri jalan dakwah daripada segala fitnah baik yang mereka sedar mahpun yang tidak mereka sedar.
No comments:
Post a Comment